Blogger Template by Blogcrowds

Seusai menonton Papadom, The Proposal dan Tidal Wave. 3 filem yang sarat dengan elemen kasih sayang, kemanusiaan dan kekeluargaan. Walaupun dari 3 bangsa yang berbeza, namun mesejnya sama untuk semua manusia. Saya kagum dengan penceritaan dan mesej yang hendak disampaikan, dan ini kupasan pendapat saya.

Papadom ( Melayu )

Karya Afdlin Shauki , sejujurnya saya sendiri tidak selalu menonton filem atau drama Melayu. Mungkin kerana konsep ceritanya yang hampir sama semuanya. Yelah, cerita cinta remaja, konflik rumah tangga, krisis golongan korporat yang gila kuasa, boleh dibaca bagaimana jalan ceritanya. Tapi, garapan cerita Papadom ( in my opinion ) ada mesejnya. Papadom, bukan sahaja mengangkat elemen ‘biasa’ masyarakat kota dengan imej Malaysia, seperti “Nasi Kandar dengan papadom”, “gerai tepi jalan dengan berbangku plastik”, dan “kehadiran YB dalam sesuatu acara”, tapi turut sarat dengan elemen cinta. Pertama, cinta darah daging ( anak dan bapa, suami dan isteri ). Kedua, cinta tanpa mengenal usia dan darjat ( tukang kebun dengan pensyarah bertaraf Profesor? ) . Dan ketiga, cinta seorang teman kepada teman yang lain ( walau berlainan bangsa dan agama ).

The Proposal ( Inggeris )

Lakonan Sandra Bullock ( Margaret Tate ) dan Ryan Reynolds sebagai ( Andrew Paxton ). Di awal cerita, didominasi elemen kemasyarakatan. Pertama, masyarakat kota yang sibuk dengan kerjaya, gosip dan kuasa. Kedua, masyarakat desa yang penuh dengan rasa rendah diri dan ramah mesra. Kemudian, elemen kekeluargaan mewarnai latar cerita kedua. Elemen ini ditonjolkan dengan penuh kasih sayang, konflik anak dan bapa (melalui watak Andrew ), dan keadaan ini berbeza melalui watak Margaret yang telah lama hidup sendiri sejak berumur 16 tahun ( kematian ibu bapa dan tiada saudara mara ). Dan elemen ini bijak bermain dengan nilai dan emosi di saat hari ‘perkahwinan’ mereka. Akhirnya, elemen cinta ditonjolkan sebagai pelengkap cerita. Paling mengujakan, pembawaan mesej “marry me” disampaikan dengan baik dan romantik.

Tidal Wave ( Korea )

Pada awalnya, pengarah meletakkan asas sejarah dan nilai kemasyarakatan untuk diangkat sebagai permulaan. Pertengkaran, “main-main cinta” remaja, hormat-menghormati dan variasi masyarakat yang berbeza latar belakang hidup, dan rona ‘miskin lemah’ dibelenggu hidup oleh yang ‘kaya berkuasa’ diceritakan melalui pengenalan watak-watak dalam cerita ( banyak watak yang ditimbulkan dengan latar cerita yang tersendiri ). Keadaan ini kemudiannya dijelaskan dengan sikap manusia yang "pentingkan diri sendiri dalam keadaan kasih sayang."

Latar cerita bertukar sebaik sahaja kronologi sampai kepada musibah yang melanda ( Tsunami ). Setiap watak di awal cerita tadi ditonjolkan kembali melalui adegan mencemaskan semasa masing-masing cuba menyelamatkan diri. Di sinilah kekuatan cerita ini timbul, melalui penceritaan yang penuh dengan emosi, nilai kemanusiaan,cinta dan komedi digarap seolah-olah ingin menjelaskan terlalu banyak perkara akan berlaku tanpa kita duga.

Cerita ini juga menonjolkan watak picisan seperti penjual jalanan dan pembaiki paip yang hanya muncul sebabak di awal cerita menjadi “penyelamat” di akhir cerita. Sinematografi dan sudut penceritaannya juga sarat dengan mesej yang sangat mendalam. Yang menariknya, rentetan cerita ini dikupas di hujung cerita dengan penghayatan dan kesedaran; betapa pentingnya ikatan kekeluargaan, semarak cinta, pembuktian keberanian dan betapa besarnya harga sebuah kebenaran. Malah, ia seolah-olah ingin bercerita dan menyedarkan kita sendiri, betapa tulus dan ikhlasnya pertolongan, sucinya sebuah pengorbanan dan semangat kemanusiaan yang tidak pernah pudar, walau saat nyawa bercerai badan.


Kesimpulan:
Ketiga-tiga cerita ini menonjolkan terlebih dahulu elemen komedi dan kemudiannya membawa penonton bermain dengan kesedaran dan emosi ke akhir cerita. Walaupun gaya cerita agak sama dengan filem yang lain, tetapi kekuatan dan keistimewaannya terletak pada penceritaan dan perkembangan cerita yang cukup baik. Saya yakin untuk mengatakan, mesejnya sampai kepada penonton. "Setiap babak dan setiap wataknya disampaikan dengan penuh simbolik seperti menggambarkan inilah realiti kita sebagai manusia".


2 Comments:

  1. Pintas A! said...
    klu lah boleh buat analisis begini dgn spontan dan dlm mase kurang 7 minit sebelum pihak lawqn duduk kan? :D
    hMk said...
    saya cuba..kak kama.. sebab post yg ni pun spontan juga.. :P

Post a Comment



Newer Post Older Post Home